Pengurusan Islam Menggantikan Pengurusan Barat
Sejak kejatuhan Empayar Uthmaniyyah di Turki di tangan bapa sekular Kamal Atatuk, LaknatulLah, bersama-sama kuncu Baratnya, kegemilangan tamadun Islam turut pupus. Walaupun di zaman pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah, Institusi Hisbah telah berjalan dengan pesat dan lancar, malah bidangkuasanya serta struktur Hisbah juga telah diperkemas dan diperluaskan. Asas Hisbah telah diperkenalkan oleh Junjungan Besar kita Nabi s.a.w. dengan objektif dan niat untuk memenuhi prinsip menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kemudian diperkemaskan oleh Khalifah Abu Bakar as Siddiq dan Khalifah Umar al Khattab dan seterusnya oleh khalifah-khalifah di zaman Umayyah dan Abbasiyah.
Bermula dari bidang tugas yang tertumpu kepada urusan mengawasi kegiatan perniagaan dan kehidupan di pasar, ia telah berkembang meliputi bidang kehidupan politik, sosial dan ekonomi yang tiada batasnya. Bidang tugas ini berubah dan berkembang tanpa menyimpang dari asasnya dan bertambah mengikut keperluan pemerintah. Dengan berpandukan prinsip Siasah Syari'yyah dan kepentingan umum (maslahah 'ammah), pemerintah Islam telah menggunakan kuasa budi bicara mengembangkan fungsi dan bidang kuasa pelaksana (pegawai) Hisbah mengikut keperluan tempat dan masa.
Di Negeri Terengganu sejak PAS mengambil alih pemerintahan negeri beberapa dasar yang selaras dengan kehendak Islam telah digubal dan diputuskan oleh kerajaan. Ini termasuklahDasar Membangun Menurut Islam, yang mana kerajaan pada hari ini akan sedaya upaya menjadikan Dinul Islam sebagai dasar mentadbir, memutus dan memerintah negeri Terengganu. Nyata bahawa al-Quran dan Hadith adalah dasar yang diguna pakai termasuk ijmak dan qias yang disepakati.
KEHANCURAN
Contoh pemerintahan lalu sama ada di negeri ini atau di luar negara Malaysia telah membuktikan kepada kita bahawa pemerintahan yang tidak berlandaskan al-Quran dan Hadith akan menuju kehancuran dan akan meninggalkan sejarah hitam. Di atas keinsafan ini Kerajaan Negeri pada hari ini ingin kembali dan bercita-cita dengan penuh tawadhuk tunduk kepada sistem yang telah ditunjuki Nabi s.a.w. dan cuba mengamalkannya sedaya upaya. Kerajaan Negeri telah membuat keputusan menubuhkan Jabatan Hisbah bagi maksud ini. Kajian dari segi perundangan negara telah dibuat dengan teliti dan kita dapati ianya adalah di dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri, menggubal satu enakmen untuk mencapai maksud tersebut. Saya yakin tidak ada pihak-pihak yang merasa terkilan akan dianiaya dalam perlaksanaan Hisbah ini. Saya juga menyeru terutama pihak yang termasuk di bawah bidangkuasa Hisbah negeri Terengganu akan merasa senang hati untuk memberi kerjasama agar perlaksanaan berjalan lancar dan semua pihak akan hidup harmoni dan terlepas dari kemungkaran.
Malah saya sendiri amat bersedia dalam memberikan kerjasama. Untuk mengelak dari tohmahan pihak-pihak yang tidak senang hati dengan peranan Hisbah ini, telah diputuskan bahwa Pesuruhjaya Hisbah yang dilantik akan disahkan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) secara dua pertiga majoriti atas nasihat saya kepada DYMM Sultan. Pesuruhjaya akan hanya bertanggungjawab kepada DUN dalam menjawab dan membereskan tugasnya. Sehubungan dengan adanya Jabatan Hisbah ini saya telah memutuskan bahawa semua keperluan asas Jabatan akan diberikan dengan belanja yang ditanggung oleh kerajaan. Ini termasuk segala kelengkapan siber dan internet yang diperlukan bagi memantau mana-mana jabatan lain di bawah bidangkuasanya. Kerajaan Negeri telah memutuskan pejabat operasinya di tingkat 5 Bangunan Mahkamah Syariah dan akan mempunyai sambungan ke Terengganu Net.
Sebagai dasar pertama dalam prinsip pemantauan ini kerajaan telah memutuskan bahawa setiap kontrak yang Kerajaan Negeri atau kepentingan Kerajaan Negeri terlibat maka adalah menjadi tanggungjawab jentera Kerajaan Negeri itu mengadakan satu perjanjian integriti atau the integrity pact dengan pihak-pihak yang akan bertindak menawarkan kontrak bahawa mereka akan memasuki atau bidding dalam kontrak tidak akan terlibat dengan rasuah dalam semua peringkat kontrak yang mereka masuki. Jika mereka didapati mendapat kontrak tersebut secara yang tidak adil atau ada unsur-unsur rasuah maka kontrak mereka akan menjadi batal dan tidak berkuatkuasa, walaupun keterangan atau maklumat rasuah itu diperolehi selepas kontrak telah tamat.
PETUNJUK
Jabatan Hisbah adalah diberi peranan untuk menyiasat dalam hal ini dan semua saranan akan menjadi kata putus dalam tertegaknya sesuatu kontrak yang telah berjaya diperolehi. Saya kemukakan ini kepada dunia seluruhnya. Inilah pengurusan Islam yang tidak bersedia mengenepikan petunjuk Nabi s.a.w. dan al-Quran bagi mencapai ketrampilan. Pengurusan Islam telah membuktikan keagungannya dan telah mencapai kedudukan yang mengkagumkan. Marilah kita tonjolkan pengurusan Islam ini sebagai alternatif dari fakta kegagalan pengurusan moden kerana jalan penyelamat adalah melalui Institusi Hisbah yang telah masyhur dan terkenal identitinya dalam menegakkan keluhuran nilai etika agama dalam kehidupan manusia. Pengurusan Barat yang longgar dengan kerja-kerja pengawasan rohani dan moral amat memerlukan Hisbah. Kita tidak mempromosikan ajaran Islam tetapi memberi tawaran yang selari dengan kedudukan agama Islam yang diturunkan sebagai rahmat Allah S.W.T. kepada seluruh manusia.
Ini dapat memupuk persefahaman agama yang dituntut oleh ajaran Islam. Hisbah dapat mengembalikan maruah insaniyyah dan menyekat proses merobotkan manusia dalam semua bentuk pengurusan dan pemerintahan manusia. Pengurusan Barat terkini yang melibatkan kemajuan teknologi maklumat (IT) adalah pengurusan dan pemerintahan yang menjadikan manusia yang berpandu pada tujuh 'S' Mckinsey Framework terdiri dari struktur, system, strategy, style (gaya), staff (keanggotaan), skill (kemahiran) dan shared values (nilai-nilai bersama). Hisbah dapat memantapkan ketujuh-tujuh angkubah ini dengan sinaran Allah yang memancarkan nilai-nilai kudus yang lahir dari keimanan sebagai penunjuk kegelapan dan kekeliruan. Pengawasan dilakukan dengan semangat syura, silaturrahim, toleransi (at tasamuh) dan bersifat mendidik serta mengasuh (ta'dib). Tindakan lebih tegas hanya akan diambil bila perlu, mengikut tahap-tahap kesalahan.
Ucaptama MENTERI BESAR TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Di Bengkel Perdana Hisbah 2000
Dewan Auditorium, Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu 8 Ogos 2000
Tinggalkan komen untuk entri ini
Post a Comment