Friday, November 14, 2008

Pengurusan Islam Menggantikan Pengurusan Barat

Sejak kejatuhan Empayar Uthmaniyyah di Turki di tangan bapa sekular Kamal Atatuk, LaknatulLah, bersama-sama kuncu Baratnya, kegemilangan tamadun Islam turut pupus. Walaupun di zaman pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah, Institusi Hisbah telah berjalan dengan pesat dan lancar, malah bidangkuasanya serta struktur Hisbah juga telah diperkemas dan diperluaskan. Asas Hisbah telah diperkenalkan oleh Junjungan Besar kita Nabi s.a.w. dengan objektif dan niat untuk memenuhi prinsip menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kemudian diperkemaskan oleh Khalifah Abu Bakar as Siddiq dan Khalifah Umar al Khattab dan seterusnya oleh khalifah-khalifah di zaman Umayyah dan Abbasiyah.


Bermula dari bidang tugas yang tertumpu kepada urusan mengawasi kegiatan perniagaan dan kehidupan di pasar, ia telah berkembang meliputi bidang kehidupan politik, sosial dan ekonomi yang tiada batasnya. Bidang tugas ini berubah dan berkembang tanpa menyimpang dari asasnya dan bertambah mengikut keperluan pemerintah. Dengan berpandukan prinsip Siasah Syari'yyah dan kepentingan umum (maslahah 'ammah), pemerintah Islam telah menggunakan kuasa budi bicara mengembangkan fungsi dan bidang kuasa pelaksana (pegawai) Hisbah mengikut keperluan tempat dan masa.

Di Negeri Terengganu sejak PAS mengambil alih pemerintahan negeri beberapa dasar yang selaras dengan kehendak Islam telah digubal dan diputuskan oleh kerajaan. Ini termasuklahDasar Membangun Menurut Islam, yang mana kerajaan pada hari ini akan sedaya upaya menjadikan Dinul Islam sebagai dasar mentadbir, memutus dan memerintah negeri Terengganu. Nyata bahawa al-Quran dan Hadith adalah dasar yang diguna pakai termasuk ijmak dan qias yang disepakati.


KEHANCURAN

Contoh pemerintahan lalu sama ada di negeri ini atau di luar negara Malaysia telah membuktikan kepada kita bahawa pemerintahan yang tidak berlandaskan al-Quran dan Hadith akan menuju kehancuran dan akan meninggalkan sejarah hitam. Di atas keinsafan ini Kerajaan Negeri pada hari ini ingin kembali dan bercita-cita dengan penuh tawadhuk tunduk kepada sistem yang telah ditunjuki Nabi s.a.w. dan cuba mengamalkannya sedaya upaya. Kerajaan Negeri telah membuat keputusan menubuhkan Jabatan Hisbah bagi maksud ini. Kajian dari segi perundangan negara telah dibuat dengan teliti dan kita dapati ianya adalah di dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri, menggubal satu enakmen untuk mencapai maksud tersebut. Saya yakin tidak ada pihak-pihak yang merasa terkilan akan dianiaya dalam perlaksanaan Hisbah ini. Saya juga menyeru terutama pihak yang termasuk di bawah bidangkuasa Hisbah negeri Terengganu akan merasa senang hati untuk memberi kerjasama agar perlaksanaan berjalan lancar dan semua pihak akan hidup harmoni dan terlepas dari kemungkaran.

Malah saya sendiri amat bersedia dalam memberikan kerjasama. Untuk mengelak dari tohmahan pihak-pihak yang tidak senang hati dengan peranan Hisbah ini, telah diputuskan bahwa Pesuruhjaya Hisbah yang dilantik akan disahkan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) secara dua pertiga majoriti atas nasihat saya kepada DYMM Sultan. Pesuruhjaya akan hanya bertanggungjawab kepada DUN dalam menjawab dan membereskan tugasnya. Sehubungan dengan adanya Jabatan Hisbah ini saya telah memutuskan bahawa semua keperluan asas Jabatan akan diberikan dengan belanja yang ditanggung oleh kerajaan. Ini termasuk segala kelengkapan siber dan internet yang diperlukan bagi memantau mana-mana jabatan lain di bawah bidangkuasanya. Kerajaan Negeri telah memutuskan pejabat operasinya di tingkat 5 Bangunan Mahkamah Syariah dan akan mempunyai sambungan ke Terengganu Net.

Sebagai dasar pertama dalam prinsip pemantauan ini kerajaan telah memutuskan bahawa setiap kontrak yang Kerajaan Negeri atau kepentingan Kerajaan Negeri terlibat maka adalah menjadi tanggungjawab jentera Kerajaan Negeri itu mengadakan satu perjanjian integriti atau the integrity pact dengan pihak-pihak yang akan bertindak menawarkan kontrak bahawa mereka akan memasuki atau bidding dalam kontrak tidak akan terlibat dengan rasuah dalam semua peringkat kontrak yang mereka masuki. Jika mereka didapati mendapat kontrak tersebut secara yang tidak adil atau ada unsur-unsur rasuah maka kontrak mereka akan menjadi batal dan tidak berkuatkuasa, walaupun keterangan atau maklumat rasuah itu diperolehi selepas kontrak telah tamat.

PETUNJUK

Jabatan Hisbah adalah diberi peranan untuk menyiasat dalam hal ini dan semua saranan akan menjadi kata putus dalam tertegaknya sesuatu kontrak yang telah berjaya diperolehi. Saya kemukakan ini kepada dunia seluruhnya. Inilah pengurusan Islam yang tidak bersedia mengenepikan petunjuk Nabi s.a.w. dan al-Quran bagi mencapai ketrampilan. Pengurusan Islam telah membuktikan keagungannya dan telah mencapai kedudukan yang mengkagumkan. Marilah kita tonjolkan pengurusan Islam ini sebagai alternatif dari fakta kegagalan pengurusan moden kerana jalan penyelamat adalah melalui Institusi Hisbah yang telah masyhur dan terkenal identitinya dalam menegakkan keluhuran nilai etika agama dalam kehidupan manusia. Pengurusan Barat yang longgar dengan kerja-kerja pengawasan rohani dan moral amat memerlukan Hisbah. Kita tidak mempromosikan ajaran Islam tetapi memberi tawaran yang selari dengan kedudukan agama Islam yang diturunkan sebagai rahmat Allah S.W.T. kepada seluruh manusia.

Ini dapat memupuk persefahaman agama yang dituntut oleh ajaran Islam. Hisbah dapat mengembalikan maruah insaniyyah dan menyekat proses merobotkan manusia dalam semua bentuk pengurusan dan pemerintahan manusia. Pengurusan Barat terkini yang melibatkan kemajuan teknologi maklumat (IT) adalah pengurusan dan pemerintahan yang menjadikan manusia yang berpandu pada tujuh 'S' Mckinsey Framework terdiri dari struktur, system, strategy, style (gaya), staff (keanggotaan), skill (kemahiran) dan shared values (nilai-nilai bersama). Hisbah dapat memantapkan ketujuh-tujuh angkubah ini dengan sinaran Allah yang memancarkan nilai-nilai kudus yang lahir dari keimanan sebagai penunjuk kegelapan dan kekeliruan. Pengawasan dilakukan dengan semangat syura, silaturrahim, toleransi (at tasamuh) dan bersifat mendidik serta mengasuh (ta'dib). Tindakan lebih tegas hanya akan diambil bila perlu, mengikut tahap-tahap kesalahan.


Ucaptama MENTERI BESAR TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Di Bengkel Perdana Hisbah 2000
Dewan Auditorium, Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu 8 Ogos 2000

Baca lanjut tentang “Pengurusan Islam Menggantikan Pengurusan Barat” »»

Tips Mengubah Diri



MENGENALI DIRI – Kerana dirimu begitu berharga


Hargailah dirimu sebagai seorang insan yang berguna dengan mempunyai nilai-nilai murni dalam diri dan bukan hanya berpandukan kepada kebijaksanaan, pencapaian akademik mahupun keupayaan kerja.

Jadilah diri anda sendiri dan jujurlah pada diri sendiri. Hargailah pendapat diri sendiri sebagaimana anda menghargai diri dan pendapat orang lain. Belajarlah mengawal tingkah laku anda dan bayangkan apakah kesan daripada tingkah laku yang anda lakukan.

Jangan kecewa atau berputus asa sekiranya apa yang dirancang tidak menjadi. Tumpukan pada matlamat kejayaan anda. Ingatlah sedikit kejayaan akan dapat dibina setara dengan sedikit kegagalan.

Berikanlah masa serta peluang kepada diri sendiri untuk berubah. Belajarlah memaafkan diri sendiri atas kesalahan yang dilakukan dan jangan menjadikan orang lain sebgai punca penyebab pada kesilapan diri.

Capailah matlamat dengan kemampuan diri dankeupayaan anda. Jangan biarkan kekurangan yang ada sebagai alasan kepada kegagalan anda.

Letakkan situasi anda kepada sikap yang positif dan luas. Jangan mengusutkan fikiran dengan masalah ataupun halangan, sebaliknya pandanglah semua masalah ataupun halangan itu dari sudut yang positif dengan menjadikannya sebagai satu cabaran dan pendorong untuk anda mengecapi kejayaan.

KENALI KERJA ANDA – Motivasi Dalam Mengerjakan Tugas

Sekiranya anda ingin melakukan kerja atau tugas, jangan membazir tenaga kepada perkara lain dengan membuat keputisan sendiri.

Kerjalah dengan pantas. Lebih cepat ianya disiapkan lebih banyak masa terluang untuk aktiviti-aktiviti lain. Anda juga akan mengalami kerisauan yang berkurangan.

Buat jangkaan terhadap sesuatu tekanan kerja sebgai pemangkin untuk anda bertindak dan jadikan tekanan yang membawa kepada perkara positif.

Bermuhasabah diri untuk mengingatkan diri, mengapa anda memilih kerja tersebut dan apa yang anda harapkan dari melakukan kerja-kerja tersebut.

Selesaikan kerja anda mengikut peringkat setiap hari, kerja yang selesai akan meningkatkan motivasi serta minat ke tahap yang maksimum. Anda juga perlu mempunyai target yang perlu dicapai setiap hari.


TIPS PENGGUNAAN MASA

Setiap orang sememangnya mampu mengurus masa dengan sistematik. Oleh yang demikian setiap pelajar perlu beberapa tips untuk dijadikan pedoman.

1. PANDUAN MEMBAHAGI MASA
Terdapat banyak kriteria bagi membahagikan masa. Setiap orang mempunyai kaedahnya yang tersendiri. Sebagai pelajar, anda boleh mengikut kriteria dibawah sebagai panduan umum sahaja :

• Lakukan perkara yang mudah terlebih dahulu – semasa peperiksaan, misalnya anda perlu bermula dengan soalan yang paling mudah untuk diselesaikan.
• Lakukan perkara yang lebih cepat untuk disiapkan berbanding perkara yang memekan masa.
• Lakukan perkara yang perlu tindakan segera berbanding perkara yang memakan masa.
• Lakukan perkara yang mempunyai sumber terlebih dahulu.
• Lakukan perkara yang sudah dirancang berbanding perkara yang tidak dirancang.
• Lakukan perkara yang kita tahu sebelum perkara yang kita tidak tahu.
• Lihatlah siapa yang memerlukan tindakan kita.


Gunakan pengurusan masa yang bijak dengan menggunakan kalendar perancangan dan jadual harian bagi mencatatkan perkara yang penting untuk dilaksanakan seperti :

• Senaraikan perkara-perkara yang ingin dilakukan dan pilih berdasarkan kepentingan.
• Buat perancangan
• Kenal pasti tempoh masa yang perlu diambil bagi menyiapkan tugasan
• Pertimbangkan beberapa aktiviti yang boleh dilaksanakan serentak
• Kenalpasti sekiranya tugasan tersebut boleh dikecilkan dalam beberapa tugasan demi memudahkan perancangan.
• Senaraikan dan catatkan mengikut keutamaan untuk dilaksanakan
• Bina matlamat jangka panjang dan jangka pendek terhadap tugasan yang perlu anda lakukan.
• Rujuk perkara yang ingin dilakukan dan tetapkan tempoh masa yang perlu diambil.
• Elakkan daripada menangguhkan tugasan kecil.
• Elakkan terlalu banyak kerja.
• Kenalpasti waktu untuk rehat, tidur, makan, bersenam dan sebagainya.
• Ambil waktu rehat sewaktu membaca atau belajar untuk memulihkan stamina.
• Elakkan melakukan perkara pada saat akhir.
• Belajar mengatakan tidak kepada sesetengah perkara yang membazir masa.
• Gunakan teknik belajar yang efektif.
• Dapatkan suasana persekitaran yang selesa.
• Gunakan teknik membaca dan mencatatkan nota semasa membaca.

Antara cara menguruskan masa dengan berkesan :
Mengurangkan pembaziran masa menonton televisyen.
Mengurangkan pembaziran masa berbual dengan kawan-kawan.
Mengurangkan pembaziran masa kerana menunggu.
Mengurangkan pembaziran masa kerana kesanggupan.
Menggunakan media elektronik bagi menjimatkan masa



Baca lanjut tentang “Tips Mengubah Diri” »»

Wednesday, September 24, 2008

Salam Ramadhan



Hikmat itu berbunyi, ini bulan Ramadhan, bukan bulan puasa.
Masyarakat kita memanggilnya bulan puasa. Hakikatnya, ia telah mengurangkan kekuatan penghayatan terhadap bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan bukan sekadar bulan puasa, bahkan ia adalah bulan yang penuh kelebihan yang sungguh gilang gemilang. Jadi, serulah ia dengan dengan nama bulan Ramadan, bukan bulan puasa.
Mari kita sejenak mengenal tuah dikunjungi bulan yang penuh berkat ini.
Bulan Ramadhan dipilih untuk umat nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallamsecara khusus. Sebelumnya, umat terdahulu mengenal kelebihan hanyalah milik bulan - bulan yang haram ( kemuliaan ) iaitu Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab ( lihat at Taubah: 36). Allah memuliakan bulan - bulan ini semenjak diciptakan langit dan bumi, lantas ia dikenali dan dijaga kemuliaannya oleh para nabi dan umat - umat terdahulu.
Tiada bulan Ramadhan yang dikenali kebesarannya sehinggalah perutusan junjungan besar al Rasul agung kita. Allah mengangkatnya dengan kedatangannya ke muka bumi di akhir zaman ini.
Ia bukanlah kerana kelahiran baginda adalah di bulan Ramadhan, atau kerana apa - apa kejadian bumi - bumian yang mungkin dijulang sejarah dan kebesarannya. Tidak, bahkan ia adalah kerana berlakunya satu kejadian gilang - gemilang di lapis langit atas. Ia adalah kejadian di alam ghaib yang kesannya adalah pencahayaan seluruh alam dunia yang kelam dan gelap. Kerananya dunia ini kembali brcahaya setelah lama kegelapan yang hampir membunuh kemanusiaan dan kehidupan.
Pada bulan Ramadhan al Quran diturunkan ( lihat al Baqarah: 185 ). Ia berlaku pada salah satu malamnya yang penuh gemilang. Allah menamakannya bulan yang penuh barakah ( Lailatim mubarakah. Rujuk ad Dukhaan:3 ) dan bulan yang penuh kemuliaan dan ketinggian ( Lailatul Qadr. Rujuk al Qadr:1 ).
Ia adalah beberapa ayat daripada wahyu pertama yang diturunkan kepada RasuliLlahsallaLlahu alaihi wasallam yang dibawa oleh Jibril alaihis salam di gua Hira’. Bumi diliputi cahayaNya dan Muhammad itu pun bergelar ar Rasul, utusan akhir Allah di muka bumi.
Atau, ia adalah kejadian ghaib yang diceritakan gambarannya secara hebat. Al Quran adalah kalam Allah yang induk. Ia tersimpan lama di Lauh Mahfuz, di Ummil Kitab di lapis langit ketujuh. Saatnya ar Rasul dipersiapkan untuk diutuskan ke muka bumi, Allah dengan hikmatNya yang maha agung mengarahkan perkenan turunnya Al Quran sekaligus 30 juzuk ke lapis langit dunia sebagai persiapan terakhir sebelum diturunkan kepada rasulNya secara berperingkat - peringkat ke dunia selama 23 tahun.
Justeru ia malam penuh keagungan. Bertolak daripada keagungan itu, Allah menjadikannya untuk diingati setiap tahun. Para malaikat diarah turun berbondongan mera’ikannya diketuai ar Ruh ( Jibril alaihis salam ). Ia malam dihuraikan, diputuskan dan ditentukan segala perkara yang besar - besar. Ia malam ditulis dan ditentukan kejadian dalam setahun, menepati segala yang tertulis lama di azali KitabNya yang pertama. Ia malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Allah menghendaki al Quran disyukuri kedatangannya oleh umat Muhammad. Ia nikmat yang tiada lagi yang lebih besar daripadanya. Tanpanya dunia ini adalah kecelakaan. Segala nikmat adalah celaka tanpanya. Harta, wanita, anak buah, pangkat, kedudukan dan segala kenikmatan adalah putus dan abtar. Ia berakhir dengan ajal yang menunggu. Ia kosong sebaik bertandang ke lubang kubur.
Hanya al Quran yang memberkati. Dengannya kekayaan dan kenikmatan menjadi bertambah dan melimpah ruah di lubang kubur dan di hari akhirat. Al Quran memberkati kehidupan dengan isinya yang penuh nilai dan padat. Ia menunjuki kerana ia adalah petunjuk. Ia menjelaskan kerana ia penuh dengan keterangan - keterangan dan kata putus. Al Quran adalah jawaban yang menjawab kehidupan yang penuh persoalan, tekaan, kebuntuan, kekeliruan dan kepenatan. Ia mencetus rasa sejuk dan nyaman. Ia menjadikan kehidupan penuh bahagia, sopan dan teladan.
Bersyukurlah dengan kedatangan al Kitab yang maha agung ini.
Bagaimana kita mensyukurinya? Adakah dengan membaca al Quran banyak - banyak? Atau mendirikan solat yang panjang - panjang bacaannya? Atau bersedekah dengan segala nikmat yang dikurniakan daripada harta, tenaga, ilmu dan segala - galanya? Ya, tetapi Allah maha berhikmah untuk memilih yang lebih baik daripada itu semua. Ia menetapkan satu ibadah khusus yang penuh hikmat dan kebesaran.
Dia berfirman: ” Maka barang siapa yang menyaksikan kedatangan ( anak bulan ) Ramadhan, maka hendaklah ia berpuasa.” Syukurilah kedatangan al Quran dengan melakukan ibadah puasa. Berlaparlah kamu di siang hari. Kekangi dirimu daripada berlaku dosa sepanjang hari di bulan Ramadhan. Sempurnakan puasamu 30 hari dan bertakbirlah kamu di malam kamu melihat kedatangan Syawal.
Apa kaitan al Quran dengan puasa? Tidakkah lapar itu meletihkan? Tidakkah membaca al Quran dalam keletihan adalah tidak mengkhusyu’kan? Tidakkah…
Ya, manusia sukar mengetahui dan menikmati hikmat berpuasa sehinggalah mereka mengerti hakikat diri sendiri ( meminjam kata Syeikh Yusuf al Qaradhawi ).
Mari memerhatikan dua perkara:
Pertama, al Quran diturunkan sebagai petunjuk untuk seluruh manusia ( hudan linnaas. Lihat al Baqarah: 185 ). Ia seperti turunnya hujan untuk dinikmati seluruh makhluk. Tiada manusia tidak mengerti hujan. Tetapi hampir semua manusia tidak mengerti al Quran dan wahyu. Mereka mengkhianati al Quran saat mereka menikmati hujan.
Justeru siapakah yang menikmati al Quran? Allah mempertegaskan satu golongan manusia yang mengambil al Quran sebagai petunjuk. Mereka adalah golongan yang bertaqwa kepadaNya ( hudan lil muttaqiin. Lihat al Baqarah:2 ).
Al Quran hanya milik golongan bertaqwa. Al Quran menggamit dan memburu golongan yang hatinya berdenyut dengan rasa takut, gerun, yakin, cinta, mengharap dan bertawakkal kepada Allah.
Syukurilah al Quran dengan mengisi dadamu dengan taqwa.
Taqwa itu sukar. Tiada jalan pintas menuju taqwa. Ia adalah istiqamah dan sabar untuk memperolehinya. Sukar, tetapi Allah tidak menghendaki kesukaran buat hambaNya. Allah menghendaki kemudahan untuk hambaNya. Taqwa itu sukar, tetapi Allah mempermudahkannya.
Berpuasalah. Anda akan menikmati rasa taqwa di dada ( Lihat al Baqarah: 183 ). Berpuasalah 30 hari sepanjang bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap daripadaNya. Kecapilah rasa taqwa.
Tiba - tiba al Quran mendatangi anda. Dia mencintai anda dan anda mencintainya.
Ramadhan adalah bulan al Quran sebelum ianya adalah bulan puasa. Ia mahal kerananya, bukan kerana puasa. Puasa hanyalah kenderaan menuju taqwa yang didamba al Quran.
Kedua, manusia berharga kerana unsur ruhnya. Dengannya ia terbang meninggi ke langit meninggalkan segala mahluk di bumi. Ia mencari kebahagiaan abadi di sisi tuhannya. Itulah keadaan mereka yang memahami.
Tetapi manusia sentiasa gagal memahami. Ia merajakan unsur tanah dalam penciptaannya. Ia melupai ruhnya. Lantas manusia menjadi seperti babi menyondol bumi mencari kekenyangan perut dan nafsu. Ia terpenjara di dalam bekas yang membaluti ruh samawinya. Justeru bagaimanakah menyedarkan diri dengan perlakuan kebinatangan ini?
Allah memberi jawaban terbaik. Kekanglah nafsumu dengan berpuasa. Nafsumu akan menjadi lemah dan letih. Ia menjadi longlai dalam ikatan kejapnya memenjara dirimu. Saat itu ruh menjadi gagah untuk mendongak keluar membawamu ke alam tinggi melepasi lumpur duniawi tempat nafsumu berkubang dan menggelomor.
Dengan berpuasa, anda sedang mensyukuri Allah yang menurunkan al Quran dengan sebaik - baik cara.
Sekarang anda sudah memahami kaitan di antara Ramadhan, al Quran, taqwa dan puasa. Selamat menghayati bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Semoga Allah menunjuki kita sepanjang masa.

Baca lanjut tentang “Salam Ramadhan” »»

Sunday, September 14, 2008

Ramadhan peluang mengislah diri

Ustaz Zainudin Hashim

Umat Islam seluruh dunia wajib bersyukur kerana masih lagi berkesempatan pada tahun ini menikmati kehadiran bulan Ramadan yang ditunggu-tunggu, kerana kedatangannya membawa seribu makna yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Apapun Ramadan memang benar-benar menjanjikan yang terbaik berupa amalan-amalan, yang bukan sahaja tidak dijanjikan pada bulan-bulan lain selainnya, malah setiap amalan itu pula diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda. Ia bertujuan untuk menggalakkan umat agar suka beribadat untuk mencari keredaan Allah SWT.

Ditambah pula dalam Ramadan terdapat 'Lailatul Qadr', tadarus al-Quran, tazkirah, sesi berbuka puasa dan sahur, qiamullail, iktikaf, pengeluaran zakat fitrah, sedekah, penyediaan juadah berbuka puasa untuk orang yang berpuasa, bersolat jemaah pada solat lima waktu, bersegera melakukan kebaikan dan banyak lagi merupakan amalan-amalan yang boleh melonjakkan prestasi seorang individu Muslim itu kepada Allah SWT.

Bayangkan, bahawa Rasulullah s.a.w. ada menegaskan dalam sebuah hadisnya yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi maksudnya, setiap amalan sunat seseorang Muslim itu pada bulan Ramadan dianggap sebagai satu amalan fardu, dan amalan fardunya pula diganjari hingga 700 pahala, ia bertujuan menggalakkan kepada semua agar bersungguh melakukannya dan meraih pahala daripada allah SWT.

Kaedah bagi melakukan pengislahan diri pada bulan Ramadan

* Iringkan diri anda sentiasa bersama niat yang suci untuk melakukan pengislahan diri sepanjang bulan Ramadan.

* Persiapkan diri anda dengan perancangan rapi untuk berubah dan sentiasa raikan perancangan tersebut.

* Paling utama yang perlu anda lakukan ialah pulihkan hubungan baik dengan Allah, jadikan Ramadan tahun ini sebagai langkah permulaan ke arah itu dengan sentiasa memerhatikan segala kekurangan yang telah anda lakukan terhadap-Nya dalam segenap tindakan beribadat sebelum kehadiran Ramadan.

* Jadikan Ramadan tahun ini untuk bertekad melakukan solat fardu pada awal waktu secara berjemaah di masjid atau surau, sama ada ketika berada di rumah atau di pejabat.

* Mulakan tekad untuk bertadarus al-Quran, bukan sahaja dalam bentuk bacaan, malah meneliti ayat-ayatnya yang terdiri daripada arahan, larangan, janji syurga dan neraka, pahala dan dosa, mengenai hukum-hukum Allah yang wajib dilaksana, ayat-ayat gembira, sedih, ancaman dan sebagainya bagi membangkitkan rasa tanggungjawab untuk menjadikan diri sebagai hamba Allah yang kerdil di sisi-Nya, kerana al-Quran adalah kitab Allah yang abadi hingga ke akhir zaman.

* Berjanji di hadapan Allah untuk menjadi hamba-Nya yang baik, dengan melakukan amar makruf dan nahi mungkar.

* Menjadikan pelaksanaan solat fardu lima waktu sebagai pemangkin kepada meninggalkan perkara-perkara terlarang, sepertimana yang ditegaskan Allah dalam al-Quran, ia dapat dilakukan melalui penghayatan terhadap segenap bacaan yang terkandung dalam ibadat tersebut.

* Bertekad untuk melakukan 'taubat nasuha' iaitu dengan niat dan berazam untuk meninggalakan segala kejahatan, tidak mahu mengulanginya semula, bersahabat dengan orang-orang yang boleh meningkatkan keimanan kepada Allah SWT, kerana setiap satu kesalahan walaupun kecil bentuknya, jika ia dilakukan, sesungguhnya ia telah mengundang kemarahan Allah, menggembirakan syaitan, menjauhkan diri anda daripada syurga, mendekatkan diri kepada neraka, menyebabkan Rasulullah s.a.w. sedih di dalam kubur, menyakiti para Malaikat, mengkhianati seluruh makhluk yang ada di muka bumi ini.

* Layani kedua-dua ibu bapa dengan baik dan sopan khususnya pada bulan Ramadan, ia juga termasuk menghormati golongan yang lebih tua daripada diri anda seperti abang, kakak, para guru dengan ungkapan yang boleh membangkitkan rasa hormat terhadap mereka.

* Berbuat baik terhadap jiran tetangga, kawan-kawan, saudara mara, mohonlah kemaafan atas kesalahan yang pernah anda lakukan terhadap mereka, bukan tunggu menjelangnya awal Syawal.

* Hadiri majlis-majlis tazkirah yang boleh membangkitkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap agama.

* Carilah keaiban diri sendiri untuk melakukan pengislahan dengan bersungguh-sungguh, kerana sepanjang Ramadan adalah waktu yang palin sesuai untuk melakukannya, janganlah biarkan Ramadan berlalu tanpa melakukan perkara yang terbaik buat diri anda sendiri.

* Tinggalkan tabiat buruk menjelang Ramadan seperti suka melewatkan solat fardu, melepak, tidak suka berkunjung ke masjid atau surau.

* Hormati bulan Ramadan dengan menutup aurat dengan sempurna lebih-lebih lagi jika anda seorang Muslimah, kerana orang yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjaga maruah dan harga dirinya tidak mungkin akan diberi syafaat (recommendation) Rasulullah s.a.w. untuk masuk syurga pada hari Kiamat.

Yang penting, pengislahan diri yang mahu anda lakukan itu pada bulan Ramadan, janganlah terhenti dengan kedatangan bulan Syawal, kerana Allah SWT bukan sahaja ada pada bulan Ramadan, malah sepanjang bulan, sepanjang masa Dia memerhatikan kita.

Mudah-mudahan Ramadan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita persembahkan ke hadrat Allah SWT. Ingatlah saudara-saudari, umur kita semakin hari semakin meningkat tua, perhatikan sepanjang kita hidup yang sudah pun mencecah puluhan tahun dengan memakan rezeki Allah.

Baca lanjut tentang “Ramadhan peluang mengislah diri” »»

Followers

Unit Amal Tawau © 2008 Template by Dicas Blogger.

TOPO