Wednesday, September 24, 2008

Salam Ramadhan



Hikmat itu berbunyi, ini bulan Ramadhan, bukan bulan puasa.
Masyarakat kita memanggilnya bulan puasa. Hakikatnya, ia telah mengurangkan kekuatan penghayatan terhadap bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan bukan sekadar bulan puasa, bahkan ia adalah bulan yang penuh kelebihan yang sungguh gilang gemilang. Jadi, serulah ia dengan dengan nama bulan Ramadan, bukan bulan puasa.
Mari kita sejenak mengenal tuah dikunjungi bulan yang penuh berkat ini.
Bulan Ramadhan dipilih untuk umat nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallamsecara khusus. Sebelumnya, umat terdahulu mengenal kelebihan hanyalah milik bulan - bulan yang haram ( kemuliaan ) iaitu Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab ( lihat at Taubah: 36). Allah memuliakan bulan - bulan ini semenjak diciptakan langit dan bumi, lantas ia dikenali dan dijaga kemuliaannya oleh para nabi dan umat - umat terdahulu.
Tiada bulan Ramadhan yang dikenali kebesarannya sehinggalah perutusan junjungan besar al Rasul agung kita. Allah mengangkatnya dengan kedatangannya ke muka bumi di akhir zaman ini.
Ia bukanlah kerana kelahiran baginda adalah di bulan Ramadhan, atau kerana apa - apa kejadian bumi - bumian yang mungkin dijulang sejarah dan kebesarannya. Tidak, bahkan ia adalah kerana berlakunya satu kejadian gilang - gemilang di lapis langit atas. Ia adalah kejadian di alam ghaib yang kesannya adalah pencahayaan seluruh alam dunia yang kelam dan gelap. Kerananya dunia ini kembali brcahaya setelah lama kegelapan yang hampir membunuh kemanusiaan dan kehidupan.
Pada bulan Ramadhan al Quran diturunkan ( lihat al Baqarah: 185 ). Ia berlaku pada salah satu malamnya yang penuh gemilang. Allah menamakannya bulan yang penuh barakah ( Lailatim mubarakah. Rujuk ad Dukhaan:3 ) dan bulan yang penuh kemuliaan dan ketinggian ( Lailatul Qadr. Rujuk al Qadr:1 ).
Ia adalah beberapa ayat daripada wahyu pertama yang diturunkan kepada RasuliLlahsallaLlahu alaihi wasallam yang dibawa oleh Jibril alaihis salam di gua Hira’. Bumi diliputi cahayaNya dan Muhammad itu pun bergelar ar Rasul, utusan akhir Allah di muka bumi.
Atau, ia adalah kejadian ghaib yang diceritakan gambarannya secara hebat. Al Quran adalah kalam Allah yang induk. Ia tersimpan lama di Lauh Mahfuz, di Ummil Kitab di lapis langit ketujuh. Saatnya ar Rasul dipersiapkan untuk diutuskan ke muka bumi, Allah dengan hikmatNya yang maha agung mengarahkan perkenan turunnya Al Quran sekaligus 30 juzuk ke lapis langit dunia sebagai persiapan terakhir sebelum diturunkan kepada rasulNya secara berperingkat - peringkat ke dunia selama 23 tahun.
Justeru ia malam penuh keagungan. Bertolak daripada keagungan itu, Allah menjadikannya untuk diingati setiap tahun. Para malaikat diarah turun berbondongan mera’ikannya diketuai ar Ruh ( Jibril alaihis salam ). Ia malam dihuraikan, diputuskan dan ditentukan segala perkara yang besar - besar. Ia malam ditulis dan ditentukan kejadian dalam setahun, menepati segala yang tertulis lama di azali KitabNya yang pertama. Ia malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Allah menghendaki al Quran disyukuri kedatangannya oleh umat Muhammad. Ia nikmat yang tiada lagi yang lebih besar daripadanya. Tanpanya dunia ini adalah kecelakaan. Segala nikmat adalah celaka tanpanya. Harta, wanita, anak buah, pangkat, kedudukan dan segala kenikmatan adalah putus dan abtar. Ia berakhir dengan ajal yang menunggu. Ia kosong sebaik bertandang ke lubang kubur.
Hanya al Quran yang memberkati. Dengannya kekayaan dan kenikmatan menjadi bertambah dan melimpah ruah di lubang kubur dan di hari akhirat. Al Quran memberkati kehidupan dengan isinya yang penuh nilai dan padat. Ia menunjuki kerana ia adalah petunjuk. Ia menjelaskan kerana ia penuh dengan keterangan - keterangan dan kata putus. Al Quran adalah jawaban yang menjawab kehidupan yang penuh persoalan, tekaan, kebuntuan, kekeliruan dan kepenatan. Ia mencetus rasa sejuk dan nyaman. Ia menjadikan kehidupan penuh bahagia, sopan dan teladan.
Bersyukurlah dengan kedatangan al Kitab yang maha agung ini.
Bagaimana kita mensyukurinya? Adakah dengan membaca al Quran banyak - banyak? Atau mendirikan solat yang panjang - panjang bacaannya? Atau bersedekah dengan segala nikmat yang dikurniakan daripada harta, tenaga, ilmu dan segala - galanya? Ya, tetapi Allah maha berhikmah untuk memilih yang lebih baik daripada itu semua. Ia menetapkan satu ibadah khusus yang penuh hikmat dan kebesaran.
Dia berfirman: ” Maka barang siapa yang menyaksikan kedatangan ( anak bulan ) Ramadhan, maka hendaklah ia berpuasa.” Syukurilah kedatangan al Quran dengan melakukan ibadah puasa. Berlaparlah kamu di siang hari. Kekangi dirimu daripada berlaku dosa sepanjang hari di bulan Ramadhan. Sempurnakan puasamu 30 hari dan bertakbirlah kamu di malam kamu melihat kedatangan Syawal.
Apa kaitan al Quran dengan puasa? Tidakkah lapar itu meletihkan? Tidakkah membaca al Quran dalam keletihan adalah tidak mengkhusyu’kan? Tidakkah…
Ya, manusia sukar mengetahui dan menikmati hikmat berpuasa sehinggalah mereka mengerti hakikat diri sendiri ( meminjam kata Syeikh Yusuf al Qaradhawi ).
Mari memerhatikan dua perkara:
Pertama, al Quran diturunkan sebagai petunjuk untuk seluruh manusia ( hudan linnaas. Lihat al Baqarah: 185 ). Ia seperti turunnya hujan untuk dinikmati seluruh makhluk. Tiada manusia tidak mengerti hujan. Tetapi hampir semua manusia tidak mengerti al Quran dan wahyu. Mereka mengkhianati al Quran saat mereka menikmati hujan.
Justeru siapakah yang menikmati al Quran? Allah mempertegaskan satu golongan manusia yang mengambil al Quran sebagai petunjuk. Mereka adalah golongan yang bertaqwa kepadaNya ( hudan lil muttaqiin. Lihat al Baqarah:2 ).
Al Quran hanya milik golongan bertaqwa. Al Quran menggamit dan memburu golongan yang hatinya berdenyut dengan rasa takut, gerun, yakin, cinta, mengharap dan bertawakkal kepada Allah.
Syukurilah al Quran dengan mengisi dadamu dengan taqwa.
Taqwa itu sukar. Tiada jalan pintas menuju taqwa. Ia adalah istiqamah dan sabar untuk memperolehinya. Sukar, tetapi Allah tidak menghendaki kesukaran buat hambaNya. Allah menghendaki kemudahan untuk hambaNya. Taqwa itu sukar, tetapi Allah mempermudahkannya.
Berpuasalah. Anda akan menikmati rasa taqwa di dada ( Lihat al Baqarah: 183 ). Berpuasalah 30 hari sepanjang bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap daripadaNya. Kecapilah rasa taqwa.
Tiba - tiba al Quran mendatangi anda. Dia mencintai anda dan anda mencintainya.
Ramadhan adalah bulan al Quran sebelum ianya adalah bulan puasa. Ia mahal kerananya, bukan kerana puasa. Puasa hanyalah kenderaan menuju taqwa yang didamba al Quran.
Kedua, manusia berharga kerana unsur ruhnya. Dengannya ia terbang meninggi ke langit meninggalkan segala mahluk di bumi. Ia mencari kebahagiaan abadi di sisi tuhannya. Itulah keadaan mereka yang memahami.
Tetapi manusia sentiasa gagal memahami. Ia merajakan unsur tanah dalam penciptaannya. Ia melupai ruhnya. Lantas manusia menjadi seperti babi menyondol bumi mencari kekenyangan perut dan nafsu. Ia terpenjara di dalam bekas yang membaluti ruh samawinya. Justeru bagaimanakah menyedarkan diri dengan perlakuan kebinatangan ini?
Allah memberi jawaban terbaik. Kekanglah nafsumu dengan berpuasa. Nafsumu akan menjadi lemah dan letih. Ia menjadi longlai dalam ikatan kejapnya memenjara dirimu. Saat itu ruh menjadi gagah untuk mendongak keluar membawamu ke alam tinggi melepasi lumpur duniawi tempat nafsumu berkubang dan menggelomor.
Dengan berpuasa, anda sedang mensyukuri Allah yang menurunkan al Quran dengan sebaik - baik cara.
Sekarang anda sudah memahami kaitan di antara Ramadhan, al Quran, taqwa dan puasa. Selamat menghayati bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Semoga Allah menunjuki kita sepanjang masa.

Baca lanjut tentang “Salam Ramadhan” »»

Sunday, September 14, 2008

Ramadhan peluang mengislah diri

Ustaz Zainudin Hashim

Umat Islam seluruh dunia wajib bersyukur kerana masih lagi berkesempatan pada tahun ini menikmati kehadiran bulan Ramadan yang ditunggu-tunggu, kerana kedatangannya membawa seribu makna yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Apapun Ramadan memang benar-benar menjanjikan yang terbaik berupa amalan-amalan, yang bukan sahaja tidak dijanjikan pada bulan-bulan lain selainnya, malah setiap amalan itu pula diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda. Ia bertujuan untuk menggalakkan umat agar suka beribadat untuk mencari keredaan Allah SWT.

Ditambah pula dalam Ramadan terdapat 'Lailatul Qadr', tadarus al-Quran, tazkirah, sesi berbuka puasa dan sahur, qiamullail, iktikaf, pengeluaran zakat fitrah, sedekah, penyediaan juadah berbuka puasa untuk orang yang berpuasa, bersolat jemaah pada solat lima waktu, bersegera melakukan kebaikan dan banyak lagi merupakan amalan-amalan yang boleh melonjakkan prestasi seorang individu Muslim itu kepada Allah SWT.

Bayangkan, bahawa Rasulullah s.a.w. ada menegaskan dalam sebuah hadisnya yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi maksudnya, setiap amalan sunat seseorang Muslim itu pada bulan Ramadan dianggap sebagai satu amalan fardu, dan amalan fardunya pula diganjari hingga 700 pahala, ia bertujuan menggalakkan kepada semua agar bersungguh melakukannya dan meraih pahala daripada allah SWT.

Kaedah bagi melakukan pengislahan diri pada bulan Ramadan

* Iringkan diri anda sentiasa bersama niat yang suci untuk melakukan pengislahan diri sepanjang bulan Ramadan.

* Persiapkan diri anda dengan perancangan rapi untuk berubah dan sentiasa raikan perancangan tersebut.

* Paling utama yang perlu anda lakukan ialah pulihkan hubungan baik dengan Allah, jadikan Ramadan tahun ini sebagai langkah permulaan ke arah itu dengan sentiasa memerhatikan segala kekurangan yang telah anda lakukan terhadap-Nya dalam segenap tindakan beribadat sebelum kehadiran Ramadan.

* Jadikan Ramadan tahun ini untuk bertekad melakukan solat fardu pada awal waktu secara berjemaah di masjid atau surau, sama ada ketika berada di rumah atau di pejabat.

* Mulakan tekad untuk bertadarus al-Quran, bukan sahaja dalam bentuk bacaan, malah meneliti ayat-ayatnya yang terdiri daripada arahan, larangan, janji syurga dan neraka, pahala dan dosa, mengenai hukum-hukum Allah yang wajib dilaksana, ayat-ayat gembira, sedih, ancaman dan sebagainya bagi membangkitkan rasa tanggungjawab untuk menjadikan diri sebagai hamba Allah yang kerdil di sisi-Nya, kerana al-Quran adalah kitab Allah yang abadi hingga ke akhir zaman.

* Berjanji di hadapan Allah untuk menjadi hamba-Nya yang baik, dengan melakukan amar makruf dan nahi mungkar.

* Menjadikan pelaksanaan solat fardu lima waktu sebagai pemangkin kepada meninggalkan perkara-perkara terlarang, sepertimana yang ditegaskan Allah dalam al-Quran, ia dapat dilakukan melalui penghayatan terhadap segenap bacaan yang terkandung dalam ibadat tersebut.

* Bertekad untuk melakukan 'taubat nasuha' iaitu dengan niat dan berazam untuk meninggalakan segala kejahatan, tidak mahu mengulanginya semula, bersahabat dengan orang-orang yang boleh meningkatkan keimanan kepada Allah SWT, kerana setiap satu kesalahan walaupun kecil bentuknya, jika ia dilakukan, sesungguhnya ia telah mengundang kemarahan Allah, menggembirakan syaitan, menjauhkan diri anda daripada syurga, mendekatkan diri kepada neraka, menyebabkan Rasulullah s.a.w. sedih di dalam kubur, menyakiti para Malaikat, mengkhianati seluruh makhluk yang ada di muka bumi ini.

* Layani kedua-dua ibu bapa dengan baik dan sopan khususnya pada bulan Ramadan, ia juga termasuk menghormati golongan yang lebih tua daripada diri anda seperti abang, kakak, para guru dengan ungkapan yang boleh membangkitkan rasa hormat terhadap mereka.

* Berbuat baik terhadap jiran tetangga, kawan-kawan, saudara mara, mohonlah kemaafan atas kesalahan yang pernah anda lakukan terhadap mereka, bukan tunggu menjelangnya awal Syawal.

* Hadiri majlis-majlis tazkirah yang boleh membangkitkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap agama.

* Carilah keaiban diri sendiri untuk melakukan pengislahan dengan bersungguh-sungguh, kerana sepanjang Ramadan adalah waktu yang palin sesuai untuk melakukannya, janganlah biarkan Ramadan berlalu tanpa melakukan perkara yang terbaik buat diri anda sendiri.

* Tinggalkan tabiat buruk menjelang Ramadan seperti suka melewatkan solat fardu, melepak, tidak suka berkunjung ke masjid atau surau.

* Hormati bulan Ramadan dengan menutup aurat dengan sempurna lebih-lebih lagi jika anda seorang Muslimah, kerana orang yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjaga maruah dan harga dirinya tidak mungkin akan diberi syafaat (recommendation) Rasulullah s.a.w. untuk masuk syurga pada hari Kiamat.

Yang penting, pengislahan diri yang mahu anda lakukan itu pada bulan Ramadan, janganlah terhenti dengan kedatangan bulan Syawal, kerana Allah SWT bukan sahaja ada pada bulan Ramadan, malah sepanjang bulan, sepanjang masa Dia memerhatikan kita.

Mudah-mudahan Ramadan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita persembahkan ke hadrat Allah SWT. Ingatlah saudara-saudari, umur kita semakin hari semakin meningkat tua, perhatikan sepanjang kita hidup yang sudah pun mencecah puluhan tahun dengan memakan rezeki Allah.

Baca lanjut tentang “Ramadhan peluang mengislah diri” »»

Followers

Unit Amal Tawau © 2008 Template by Dicas Blogger.

TOPO